Bersembang atau mengumpat?
Seperti biasa, sebagai seorang
student yang tinggal di asrama mestilah setiap masa dan saat akan bertemu dengan kawan- kawan. Masa di kelas,
prep, bilik dan penjuru mana-mana pun mesti akan berjumpa dengan orang.
Bila tinggal di asrama, adakalanya kita lebih banyak peluang untuk
bersembang. Kalau sudah dapat nikmat bersembang, tidak kiralah
bersembang tentang isu yang berfaedah mahupun tidak, dosa mahupun
pahala, duniawi mahupun ukhrawi semua tidak akan diendahkan. Apa yang
penting bersembang!
"Eh, mila engkau tahu tak pasal gosip BigBang tu ? Aku tak puas
hati la. Ada ke patut dorang cakap tuuuuttt...tuuuttt....tuuutt..."
"La... Betul ke beb ? Aku pun ada jugak dengar.. Tapi tak pasti la betul ke tak.. blaa..bla..bla..."
"Engkau tahu tak, semalam mamat tu aku nampak dating kat pasar malam... Takdelah cantik sangat makwe dia tu. Biasa je pun.."
Banyak perkara yang kurang manfaat menjadi perbualan daripada yang
bermanfaat. Demikianlah manusia seharian. Bila di hitung banyaknya
perkataan yang kurang bermanfaat, pasti melebihi timbangannya daripada
perkataan yang bermanfaat.
Ada pula yang lebih pro perkataannya tentang dunia artis yang penuh
sensasi. Bangga benar dirinya dapat meneroka setiap pelusuk kehidupan
artis yang disanjung-sanjung oleh dunia.
Wahai umat Islam, adakah perlu untuk kita kisahkan atau sibukkan diri
tentang dunia artis sedangkan diri kita sendiri pun belum tentu
terurus? Kita mencanang cerita artis, menjaja gosip yang hangat di dalam
kehidupan mereka. Jika boleh, ingin sahaja mengikuti kisah kehidupan
idola kita sehingga akhir hayatnya.
Sedarlah bahawa di akhiratlah kita selamanya. Dunia ini hanya
pinjaman semata-mata. Tidak perlu mengejar cerita-cerita duniawi kerana
bukanlah cerita-cerita ini yang menjadi peneman kita ketika di kubur
nanti. Dari saat ini, sedarkanlah hati kalian agar jangan terlalu taksub
untuk hidup di dunia yang fana ini.
Gunakanlah peluang kita hidup di dunia ini untuk mengumpul sebanyak
mungkin kebaikan dan amalan sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat
nanti.Lebih baik menyibukkan diri dalam urusan yang berkait dengan
kehidupan sendiri, daripada menyibukkan diri dalam kehidupan orang
lain.
Hukum Mengumpat
Apakah yang dimaksudkan dengan mengumpat?
Maksud mengumpat dapatlah didefinisikan sebagai bercerita tentang
perihal keburukan dan kelemahan seseorang kepada orang lain di mana akan
diumpat merasa marah dan benci dengan perkara yang didengari tentang
dirinya. Bercerita tentang keburukan dan kelemahan seseorang samalah
juga seperti membuka aib seseorang itu kepada orang lain.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
" mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Dan hukumnya adalah haram di sisi Allah SWT.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
"Wahai orang
yang beriman ! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan ( supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang ) kerana sesungguhnya sebahagian
daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau
mencari - cari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu
suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? ( Jika demikian keadaan
mengumpat ) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. ( Oleh itu,
patuhilah larangan yang tersebut ) dan bertakwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani "
(Surah al-Hujurat atat 12) ?
Sesungguhnya pengharaman mengumpat itu jelas di dalam Al-Quran kerana
ianya boleh menjatuhkan maruah seseorang (orang yang diumpat) di
samping boleh membawa kepada kemudharatan yang besar iaitu boleh membawa
kepada bahaya fitnah dan merupakan suatu pembohongan sekiranya perkara
yang menjadi umpatan itu sedikit pun tidak ada kebenarannya atau tidak
ada pada orang yang diumpat.
Bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
" sesiapa
yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah (
penghormatan ) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan
kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi
diperlukan. Jika dia mempunyai apa - apa kebaikan, perkara itu akan
ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika
dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang
diumpat itu akan diletakkan kepadanya "
(Hadis Riwayat Bukhari) ?
Sabda bagindaa lagi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu;
"Rasulullah
bertanya, "Adakah kamu tahu apa itu ghibah?", mereka berkata : Allah dan
RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata : "Engkau menyebut sesuatu
mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya". Dikatakan :
Beritahukanlah kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa
yang aku katakan? Baginda berkata : "Sekiranya ada padanya apa yang kamu
katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu
katakan maka kamu telah memfitnahnya"
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)
Keharusan Mengumpat
Walaupun pada asal hukum mengumpat adalah haram, namun ianya juga
menjadi harus bagi kita dalam keadaan yang tertentu. Di dalam kitab
Riyadus Solihin iaitu karangan kitab oleh Imam Nawawi, terdapat 6
keuzuran yang diharuskan padanya mengumpat.
1- Kes Penganiayaan.
Apabila seseorang dizalimi sebagai contohnya seorang isteri yang
dizalimi oleh suaminya, maka menjadi keharusan kepada si isteri untuk
menceritakan keaiban dan keburukan yang dilakukan oleh suaminya ke atas
dirinya kepada pihak pemerintah. Hal ini adalah bertujuan untuk
menyelesaikan masalah dan sebagai bukti bahawa kezaliman itu memang
berlaku
2- Mohon Bantuan Mencegah Kemungkaran.
Apabila di dapati berlakunya kemungkaran, kemudian melaporkannya
kepada pihak yang berkuasa dengan tujuan/ niat untuk mencegah
kemungkaran yang ada, maka diharuskan untuk orang yang mengadu
menceritakan kemungkaran yang dilakukan. Sebagai contoh dia mengatakan
" Si polan telah melakukan maksiat begitu begini, maka tegahlah dia agar tidak berlaku kemudaratan yang berpanjangan".
3- Minta Fatwa.
Diharuskan juga menceritakan keaiban orang dengan tujuan meminta
fatwa sepertimana Hindun meminta fatwa kepada Rasulullah SAW perihal
suaminya yang kedekut.
4- Mengajak Muslimin Agar Bersikap Berhati-hati.
Tujuan menceritakan keburukan orang yang tertentu adalah semata-mata
untuk kemaslahatan orang lain agar berhati-hati dan tidak mudah
terpedaya contohnya seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura
alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat
dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang
pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya
agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.
5- Jika Melakukan Maksiat dan Bid'ah Secara Terang-terangan.
Jika seseorang itu melakukan maksita dan bid'ah secara
terang-terangan, maka menjadi harus hukum mengumpat tentangnya. Dengan
syarat diniatkan keharusan mengumpat itu agar tidak mudah tertipu dan
supaya kaum muslimin yang lain sentiasa berwaspada dengannya. Walau
bagaimana pun tidak boleh menceritakan keburukannya yang tersembunyi.
6- Sebagai Tanda Pengenalan.
Dibolehkan dengan syarat tidak bertujuan untuk menghina dan
merendahkan orang yang dinyatakan seperti mila jongang, mamat tempang.
Andaikata hanya dengan gelaran-gelaran tersebut menjadikan orang lebih
mengenalinya, maka diharuskan menceritakan kekurangannya.
Kesimpulannya, walaupun terdapat beberapa situasi yang dibolehkan
mengumpat, namun perlulah kita ingat ianya juga bersandarkan kepada niat
kita. Sekirannya niat kita lebih cenderung kepada menceritakan keaiban
dan kekurangan orang lain, boleh jadi ianya jatuh kepada mengumpat. Dan
ketahuilah sesungguhnya mengumpat itu adalah haram dan setiap yang haram
itu padanya dosa.
Jauhilah mengumpat wahai umat Islam, kerana realitinya kita hanyalah
hamba yang lemah untuk lari daripada melakukan perbuatan terkutuk itu.
Jangan sampai amalan kita terlepas kepada orang yang diumpat. Tidak
pernah merugi bagi mereka yang menutup keaiban orang lain. Cukuplah
sekadar mendengar jika memang keadaan tidak mengizinkan untuk kita lari
dari tempat mengumpat itu.
Sesiapa yang memelihara lidahnya ( tidak menceritakan keburukan orang
lain ), Allah akan menutup kecelaannya di akhirat nanti, Sesiapa yang
menahan kemarahannya, Allah akan lindungi daripada seksaanNya. Bersama -
samalah kita hindari perbuatan mengumpat ini dari masa ke semasa kerana
Rasulullah pernah bersabda :
"Wahai orang
yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya !
Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin dan janganlah kamu mengintip -
intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban
saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan Dia akan mendedahkannya,
meskipun berada dalam rumah sendiri "
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al - Tarmizi)